You are using an outdated browser. For a faster, safer browsing experience, upgrade for free today.

Muat turun...

Ucapan Perasmian DPN 2019-2030 oleh Perdana Menteri

YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad

17 Oktober 2019 (Khamis), Stesen Sentral Kuala Lumpur

Alhamdulillah kita dapat berkumpul pada hari ini di Majlis Pelancaran Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030. Pelancaran dan kemudiannya pelaksanaan dasar ini amat penting kerana kita ingin menetapkan hala tuju yang jelas dan terperinci bagi sektor pengangkutan yang merupakan pemacu kepada pertumbuhan Negara. Ia akan membantu penyediaan sistem pengangkutan yang berkualiti dan ini pastinya akan membantu usaha Kerajaan memenuhi aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara maju.

Sejak sekian lama Negara telah membangunkan pelbagai infrastruktur termasuk infrastruktur pengangkutan bagi sektor darat, udara dan laut. Ianya telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing Negara di peringkat global. Kesan sumbangan daripada pelbagai sektor ekonomi termasuk daripada sektor pengangkutan, pada tahun 2018 Negara berada pada kedudukan ke-25 daripada 140 buah negara dalam Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia. Pada tahun berkenaan juga, 2 pelabuhan kita yang tersenarai dalam 20 pelabuhan terbaik dunia daripada segi isi padu kontena yang dikendalikan – Pelabuhan Klang pada kedudukan ke-12 dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor pada kedudukan ke-18. Pada tahun 2018 juga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-12 terbaik di seluruh dunia daripada segi jumlah penumpang antarabangsa iaitu seramai 43.6 juta orang. Selain itu, penggunaan keretapi bagi mengangkut barangan bagi tujuh bulan pertama 2019 meningkat sebanyak 200 ribu tan berbanding tempoh sama bagi 2018. Semakin ramai juga turut memilih perkhidmatan ETS, LRT, MRT dan sebagainya untuk perjalanan mereka. Saya difahamkan bahawa tiket ETS sering habis terjual terutamanya pada musim perayaan, cuti umum dan cuti sekolah. Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan mutu perkhidmatan rel sama ada untuk pengangkutan penumpang mahupun barangan dengan menaik taraf rangkaian rel sedia ada, membangun jajaran baharu keretapi seperti landasan cawangan Bukit Kayu Hitam dan Landasan Pintasan Serendah – Pelabuhan Klang. Bagi menambah baik perkhidmatan penumpang pula, Kerajaan sedang dalam proses perolehan set ETS dan Monorel yang baharu.

Kebelakangan ini kita menyaksikan kemunculan pelbagai teknologi baharu yang memberi impak dan perubahan kepada kehidupan kita seperti e-dagang, Internet of Things atau IoT, AI atau artificial intelligence dan sebagainya. Sudah pasti sektor pengangkutan turut terkesan dan hari ini, antara lain, terdapat pelantar perkongsian kenderaan serta kenderaan autonomous atau tanpa pemandu. Perkembangan ini memberi cabaran kepada kita untuk memastikan kita mampu menerima dan menggunakan teknologi-teknologi baharu ini untuk pembangunan Negara dan ini termasuklah sektor pengangkutan. Teknologi ini selain mencabar keupayaan kita untuk menggunakannya untuk menambah baik sektor pengangkutan, ia juga cabaran kepada kita untuk memastikan mereka yang terkesan akibat dari teknologi-teknologi baharu ini tidak terpinggir. Kerana itu perlu kita sediakan satu hala tuju strategik bagi memastikan pembangunan sistem pengangkutan yang cekap, bersepadu dan mampan dapat direalisasikan.

Kerajaan telah mengenal pasti beberapa trend global semasa dan Kerajaan komited untuk menanganinya sebaik mungkin melalui Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030. Di antara perkara utama yang perlu diberi perhatian dan akan ditangani melalui Dasar ini adalah perkembangan teknologi terkini dan perubahan trend mobiliti rakyat dengan berkembangnya e- dagang. Perkembangan teknologi termasuk e-dagang perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh semua pihak termasuk pemain industri pengangkutan, dan usahawan dalam bidang pengangkutan dalam mendapatkan faedah ekonomi.

Dua perkara lain yang turut mendapat perhatian Kerajaan adalah status Negara yang menuju ke arah Negara tua atau ageing population serta kepentingan golongan berkeperluan khas dalam perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan pengangkutan. Kemudahan di semua hentian, stesen dan terminal pengangkutan tidak kira pengangkutan darat, udara atau laut – kesemuanya harus peka dengan trend semasa di mana warga emas semakin ramai. Sehubungan itu, kemudahan di hentian, stesen dan terminal pengangkutan haruslah bersesuaian dengan kemampuan fizikal mereka. Begitu juga dengan kesedaran dalam keperluan menyediakan kemudahan kepada golongan berkeperluan khas seperti orang kelainan upaya. Ruang dan laluan khas di terminal dan di dalam kenderaan pengangkutan awam seharusnya disediakan dengan mencukupi.

Jumlah penduduk bertambah dan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar juga perlu diberi perhatian oleh Kerajaan. Pertambahan penduduk di bandar memberi kesan secara langsung kepada peningkatan keperluan kemudahan awam termasuk perkhidmatan pengangkutan awam. Kerajaan akan terus berusaha menambah jumlah perkhidmatan pengangkutan awam termasuk melalui projek-projek pembinaan perkhidmatan rel dalam bandar bagi memenuhi keperluan penduduk bandar. Apabila berlaku peningkatan kepada keperluan pengangkutan, secara langsung juga ia akan memberi impak kepada alam sekitar. Kerajaan mengambil sikap untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai amalan hijau seperti yang diamalkan di peringkat global. Antara tindakan yang dirancang dalam dasar ini adalah mewujudkan garis panduan pembinaan infrastruktur pengangkutan termasuk laluan rel untuk mengawal kesan pembinaan ke atas alam sekitar, serta amalan Transit-Oriented Development atau TOD yang menggalakkan pembangunan di kawasan yang mempunyai kemudahan pengangkutan seperti terminal pengangkutan awam supaya penduduk sekitar mudah untuk sampai ke terminal berkenaan.

Selain itu, Kerajaan juga perlu meningkatkan keboleh-capaian masyarakat ke atas maklumat perkhidmatan pengangkutan awam termasuk melalui media sosial bagi memudahkan penumpang mendapat jadual terkini perkhidmatan pengangkutan dan seterusnya mengurangkan penggunaan pengangkutan persendirian. Turut diberi perhatian berat oleh Kerajaan adalah peningkatan perdagangan melalui laluan laut, dan jangkaan peningkatan berganda penumpang penerbangan dalam kurang dua dekad dari sekarang. Bagi perkara ini, pemain industri khususnya dalam sektor udara dan laut harus memanfaatkan peningkatan permintaan dengan meningkatkan volume perkhidmatan masing-masing untuk memenuhi keperluan semasa, yang juga akan memberikan faedah peningkatan ekonomi kepada Negara. Dasar ini akan memastikan Malaysia kekal menjadi Negara mesra perniagaan, memenuhi keperluan industri, dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa dalam industri pengangkutan. Malaysia memilih untuk tidak menghadkan jumlah kenderaan persendirian. Oleh itu jalan dalam dan luar bandar terpaksa dibina sepanjang masa. Untuk mengurangkan kesesakan akibat pertambahan ini, Kerajaan akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Ini termasuk membekalkan rel elektrik berkembar. Penggunaan rel masih ditahap yang rendah. Kenderaan berat masih banyak mengguna jalan- jalan raya. Adanya kenderaan berat dan besar di jalan raya mengundang kemalangan. Adalah lebih baik jika freight yang besar dan berat mengguna sistem rel yang sedia ada. Jika sistem yang ada sekarang tidak mencukupi Kerajaan akan berusaha untuk menambah kemudahan ini dari pendapatan yang akan bertambah jika sistem rel lebih diguna untuk muatan barangan, terutama yang berat dan besar. Kajian akan dibuat supaya sistem rel kita akan diguna sepenuhnya. Pihak swasta dijemput untuk mencadang dan melabur serta menyewa landasan yang sedia ada.

Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang bermatlamatkan kesaksamaan keberhasilan atau equitability of outcomes. Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 memberi penekanan kepada inklusiviti dalam penyertaan rakyat mahupun pemain industri dalam aktiviti ekonomi sektor pengangkutan khususnya pengangkutan awam. Melalui perancangan strategik, kerjasama, dan komitmen semua pihak termasuk pihak industri dan rakyat, Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan mampu menyediakan sistem pengangkutan mampan yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menjamin kesejahteraan rakyat. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan rasminya melancarkan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.

Sekian, terima kasih.

Video Ucapan Perasmian YAB Perdana Menteri
Logo Jata Kementerian Pengangkutan

Kementerian Pengangkutan Malaysia
No.26, Jalan Tun Hussein, Presint 4,
62100 W.P Putrajaya
Tel: 03-8000 8000
Emel: aduan@mot.gov.my

Media Sosial

Ikuti kami di sini: